Jumat, 20 Desember 2013
Siling Hospital Serdang Di Perkukuh Elak Runtuh

KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan telah memulakan proses kerja-kerja memperkukuhkan keseluruhan struktur siling Hospital Serdang di sini bagi mengelak kejadian siling hospital itu runtuh berulang.
Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Farida Mohd. Ali berkata, kerja-kerja pengukuhan siling Hospital Serdang itu dilaksanakan secara berperingkat.
“Pihak hospital dalam proses memperkukuhkan keseluruhan struktur siling hospital secara berperingkat. Kerja-kerja ini telah pun dimulakan termasuk pengukuhan siling di Aras 2 Hospital Serdang.
“Mesyuarat bersama Ketua Jabatan juga telah diadakan bagi memaklumkan mengenai kerja-kerja pengukuhan siling ini. Kerja-kerja pengukuhan siling diselia bersama dengan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kejadian siling runtuh di Bilik Pemulihan Wad Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Serdang pada pukul 1.15 pagi, 14 November lalu.
Farida berkata, anggaran keluasan kawasan yang runtuh adalah 6 kaki x 12 kaki persegi namun tiada sebarang kecederaan dillaporkan dan tidak menjejaskan perkhidmatan NICU.
Media semalam melaporkan beberapa kepingan siling di wad NICU Hospital Serdang yang sedang dibaiki runtuh.
Sebelum ini, beberapa kejadian runtuhan siling dan bumbung pernah dilaporkan berlaku di hospital berkenaan, termasuk pada 30 September lalu di wad bersalin melibatkan runtuhan siling.
Hospital yang menelan belanja RM690 juta itu mula beroperasi sejak Disember 2005 dan dibina khusus untuk menampung sekitar 570,000 penduduk Serdang, Putrajaya, Kajang dan Bangi.
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
Tidak ada komentar:
Posting Komentar