PADA 29 Ogos yang lepas, industri seni dikejutkan dengan berita penyebaran filem terbaru arahan Shamsul Yusuf, KL Gangster 2 di internet.
Mengikut jadual, filem itu sepatutnya ditayangkan di pawagam pada 3 Oktober 2013. Malangnya, angkara perbuatan pihak yang tidak bertanggungjawab, filem itu telah disiarkan di internet dan ada juga yang dijual di pasar malam dalam bentuk DVD haram.
Akibat perbuatan terkutuk ini, maka ramailah pihak yang mula mempersoalkan tentang nasib industri filem di negara ini.
Ada yang beranggapan bahawa selepas ini pengarah dan penerbit sudah tidak boleh cari makan di Malaysia kerana sudahlah sebelum ini rakyat Malaysia lebih mengutamakan filem luar, sekarang, berlaku pula pengkhianatan sehingga boleh menutup periuk nasi mereka.
Bercakap soal sambutan masyarakat pada filem tempatan, membuatkan saya terfikir, mengapa penonton lebih suka menonton filem luar berbanding filem tempatan? Mana perginya semangat patriotisme penonton? Jawapannya sangat mudah.
Penonton bukan tak patriotik. Penonton bukan tak sayang pengarah dan penerbit tempatan. Tapi penonton lebih sayang duit. Mengapa? Kerana penonton tak sanggup nak bayar berbelas ringgit untuk menghabiskan masa mereka di pawagam untuk menonton filem tempatan.
Ini hakikat yang perlu kita terima. Pengalaman saya minggu lepas selepas tamat peperiksaan akhir di Universiti Tekonologi Petronas (UTP), saya mengajak rakan-rakan untuk menonton sebuah filem tempatan di pawagam. Apa respons mereka? Gelak dan memerli idea saya. Bagi mereka, perkara itu lucu kerana filem tempatan bukan untuk ditonton di pawagam tetapi di televisyen.
Kerana apa? Kerana di televisyen, mereka tak perlu bayar pun. Maka, kerana peristiwa itulah, saya terpanggil untuk menulis bebrapa pandangan saya mengenai filem tempatan yang perlu diambil kira oleh penerbit dan pengarah khususnya.
Perlu diingat, apabila penonton mengkritik filem tempatan, jangan cepat melatah.
Pantang ditegur, maka keluarlah ayat-ayat seperti, “Dah agak dah, filem ini tiada sambutan. Rakyat Malaysia mana pernah sokong filem tempatan”, “Kenapa nak kritik filem tempatan? Ini filem kita”, dan tak kurang juga, ada yang akan keluarkan ayat ini,
“Kalau kau hebat sangat kritik, kau buatlah filem sendiri”.
Inilah mentaliti sesetengah rakyat Malaysia. Baru kita nak kritik filem tempatan, kita dah dikritik dulu. Ingat, kalau filem kita tak dapat sambutan, jangan salahkan penonton. Salahkan diri sendiri. Cari kekurangan dalam filem dan betulkan.
Fikirlah sendiri, mengapa penonton tak pernah jemu menonton filem Tan Sri P. Ramlee sehingga ada yang menontonnya lebih daripada sepuluh kali? Bukankah filem P. Ramlee itu filem tempatan? Masih ingin label rakyat Malaysia sebagai anti-filem tempatan?
Dengan jelas, filem P. Ramlee mendapat sambutan kerana filemnya unik dan mempunyai pelbagai genre. Bandingkan pula dengan filem sekarang. Bandingkan genre filem sekarang. Bila ada yang arahkan filem genre hantu, maka berlumbalah pengarah lain ikut genre tersebut.
Bila ada yang tukar ke genre komedi, semua tukar ke komedi. Sebab itu, kita boleh lihat genre filem negara kita ini bermusim. Ada musim seram, ada musim komedi, ada musim zombie, ada musim gangster, dan ada musim rempit. Bila genre seram dan komedi tak menjadi, maka digabungkan kedua-dua genre ini yang akhirnya terciptalah pula satu genre baru iaitu seram komedi.
Maka sekali lagi, berduyunlah pengarah lain ikut jejak langkah yang sama. Bahagian komedi, penonton seram nak gelak. Bahagian seram, penonton pakat gelak. Maka, inilah kelemahan pertama filem kita, iaitu genre yang bermusim.
Pensyarah Kanan Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Dr Abu Hassan Hasbullah, pernah berkata, filem Melayu tidak boleh menjadi naskhah hiburan semata-mata atau komoditi perniagaan kerana filem turut berperanan menyebar elemen kebaikan supaya menjadi contoh.
Saya setuju dengan kata-kata ini. Perlu ada pengajaran dalam setiap filem. Sekali lagi, jadikanlah filem Tan Sri P. Ramlee sebagai rujukan. Setiap filemnya, pasti ada pengajaran. Kerana itulah, filemnya tidak lapuk dek hujan tidak lekang dek panas.
Cuba kita bandingkan dengan filem tempatan sekarang. Semasa ingin promosikan filem, keluarlah ayat-ayat manis pengarah seolah-olah filem mereka mempunyai 1001 pengajaran yang tak mungkin kita dapat di filem lain. Kalau dengar promosi mereka, seolah-olah penjenayah pun akan cuci tangan kerana filem mereka sarat dengan pengajaran.
Tetapi sekali lagi, inilah kelemahan filem tempatan.
Indah khabar dari rupa. Kalau durasi filemnya 90 minit, 85 minit ditayangkan unsur negatif, baki 5 minit itu lah yang akan dipaparkan pengajaran yang mereka janjikan.
Sudah-sudahlah cari kontroversi. Buatlah filem yang boleh memberi pengajaran tanpa perlu diselitkan adegan-adegan kontroversi seperti adegan ranjang dan adegan-adegan yang ditolak masyarakat.
Hentikanlah menggunakan alasan, “Nampak je filem ni macam teruk, tapi ada pengajaran”. Hentikanlah. Penonton sudah jemu.
Seterusnya, bagi saya, alasan ketiga mengapa penonton tolak filem tempatan, ialah mutu lakonan itu sendiri.
Bagi saya, ini antara sebab utama filem tempatan ditolak. Kita boleh bandingkan sendiri lakonan pelakon tempatan dan luar negara. Kita lihat sendiri reaksi muka mereka, bait-bait dialog, serta bahasa tubuh atau ‘body language’ mereka.
Jangan pandang enteng pada perkara ini kerana ini bukanlah perkara yang remeh. Perkara inilah yang boleh memukau penonton untuk terus menonton filem tersebut.
Pertama, dari segi dialog. Kalau kita tonton filem tempatan sekarang, kita boleh dengar betapa tidak praktikalnya dialog dan skrip yang diluahkan oleh pelakon.
Mana ada di zaman moden ini, kita menggunakan ayat seperti, “Mengapakah tuan memanggil saya?”, “Entelah wanita pertama yang mengeluarkan ayat sedemikian”, “Janganlah Ente melihat saya sebegitu rupa”. Percayalah, ini tidak asli. Mana ada masyarakat sekarang yang menggunakan bahasa baku seperti ini dalam perbualan seharian.
Tak salah untuk membudayakan bahasa, tetapi janganlah sampai hilang praktikaliti. Bila dah hilang praktikaliti, maka penonton akan rasa jauh dan tidak akan menghayati filem tersebut.
Kedua, reaksi muka. Ini antara kelemahan utama pelakon kita.
Bila berlakon watak terkejut, maka akan terbeliaklah mata sebesar alam. Bila berlakon watak jahat, senyum sinis depan kamera tak pernah tinggal. Begitu juga dengan bahasa tubuh. Yang ini paling ketara di dalam filem seram komedi.
Pantang jumpa hantu, pasti ada yang akan lari terkengkang-kengkang seolah-olah itulah body language yang paling lucu yang boleh dunia tinjauankan. Ubahlah mutu dan gaya lakonan supaya penonton terkesima dengan filem tersebut.
Akhir kata, bukanlah niat saya untuk menghina filem tempatan. Ini hanyalah pandangan peribadi saya. Belajarlah terima hakikat dan perbaiki kesilapan. Jangan suka salahkan penonton kerana tidak sokong filem tempatan. Kami kritik kerana kami patriotik.
Penulis ialah Mohd Farhan Zulkefly Balan, Siswazah Kejuruteraan Awam di Universiti Teknologi Petronas, Perak. Berumur 20 tahun dan dilahirkan pada 1hb Desember 1993. Berasal dari Labis, Johor.
* Ini adalah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan Siakap Keli.